Belanjawan 2023: MITI cadang lebih banyak insentif EV bagi memastikan pemain tempatan lebih kompetitif
[ad_1]
Ketika pelancararan Program Langganan Perodua Ativa Hybrid hari ini, Setiausaha Agung Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lokman Hakim Ali mendedahkan bahawa kementeriannya mencadangkan lebih banyak insentif kenderaan elektrik penuh (EV) untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober nanti.
“Izinkan saya mengambil peluang ini untuk berkongsi [sesuatu] dengan anda. Pagi ini, pada mesyuarat pasukan petugas EV, MITI serta pelbagai kementerian, agensi, pemain industri dan persatuan telah bersetuju bahawa kita harus memberi [lebih] penekanan dalam membina infrastruktur yang cekap dan berkualiti untuk stesen pengecasan,” kata Lokman.
“Kami menyedari keperluan untuk memastikan proses kawal selia cukup memudahkan ke arah memastikan persekitaran yang kondusif untuk industri EV berkembang maju. Malah, MITI sebenarnya telah mengemukakan beberapa cadangan untuk Belanjawan 2023; insentif tertentu untuk memastikan pemain industri tempatan mampu bersaing dalam ekosistem EV,” tambahnya.
Ketika pembentangan Belanjawan 2022 tahun lalu, Menteri Kewangan YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengumumkan bahawa kerajaan memberikan pengecualian sepenuhnya daripada duti import dan eksais terhadap EV bagi merangsang penggunaan teknologi tersebut dalam negara.
Pengecualian berkenaan bermula dari 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2023 untuk EV yang diimport sepenuhnya (CBU), manakala sehingga 31 Disember 2025 untuk EV pemasangan tempatan (CKD). Malah cukai jalan untuk CBU dan CKD EV juga dikecualikan sehingga 31 Disember 2025.
Susulan daripada pengumuman berkenaan, dapat dilihat pengeluar-pengeluar kenderaan kini sedang rancak melancarkan pelbagai mannequin EV pada pasaran tempatan bagi mengambil manfaat terhadap insentif tersebut. Persatuan Automotif Malaysia (MAA), yang mewakili syarikat kereta di dalam negara baru-baru ini telah memohon agar insentif berkenaan diteruskan sehingga 10 tahun bagi menggalakkan lagi pertumbuhan pasaran EV tempatan.
[ad_2]
Source link