Danau Toba Rally 2022 – perjuangan Karamjit Singh berakhir di SS2, tapi masih catat masa kompetitif

1

[ad_1]

APRC Danau Toba Rally 2022 baru sahaja bermula hari ini, namun malang untuk pelumba negara Karamjit Singh dan juruarahnya Jagdev Singh, perjuangan mereka sudah pun tamat seawal SS2 kerana berhadapan dengan masalah mekanikal yang berlaku pada Proton Gen2 2.0L 4WD yang digunakan.

“Malangnya kempen kami di Danau Toba Rally telah berakhir, kami terlalu memaksa kereta ini. Tetapi, kami masih gembira dengan catatan masa yang telah dibuat,” kata Karamjit Singh menerusi hantaran di laman fb beliau.

Pada SS1, Karamjit Singh berjaya mencatatkan masa keempat terpantas secara keseluruhan, dengan Sean Galael yang memandu Citroen R5 pasukan Jagonya Ayam berada di tempat pertama, diikuti Rifat Sungkar (Mitsubishi Xpander AP4 pasukan Xpander Rally Workforce) dan Ryan Nirwan (Toyota GR Yaris AP4 pasukan Toyota Gazoo Racing Indonesia).

Masa yang dicatatkan oleh Karamjit berkenaan jelas lebih pantas dari beberapa pemandu lain yang memandu jentera yang jauh lebih moden dengan spesifikasi terkini R5, AP4 dan ProtoCars yang dikelaskan dalam kategori M1. Sedangkan Proton Gen2 yang dipandu oleh Karamjit bukan sahaja sudah berusia 15 tahun, malah ianya masuk dalam kategori M3 iaitu jentera 4WD 2.0L Turbo yang tidak menerima homologasi FIA.

Keputusan SS1 APRC Danau Toba Rally 2022

Proton Gen2 tersebut sebelum ini telah digunakan oleh Felda Rally Workforce yang membuat kemunculan pada tahun 2007. Ia menggunakan enjin 2.0L Turbo 4G63T dan juga sistem pacuan semua roda yang diambil dari Mitsubishi Lancer Evolution VI. Sedangkan jentera-jentera dengan spesifikasi R5 dan AP4 rata-rata mempunyai enjin dengan kuasa sekitar 350 hp dan tork melebihi 500 Nm, bersama kotak gear dan sistem 4WD serta kerangka yang jauh lebih moden.

Sebelum ini Karamjit Singh pernah mendedahkan rancangannya untuk kembali semula ke Kejohanan Rali Asia Pacific (APRC) dengan Proton Iriz R5, namun sehingga kini jentera berkenaan masih lagi belum diperolehi. Semoga tahap kompetitif yang ditunjukkan di Danau Toba Rally 2022 ini membuka mata pelbagai pihak bagi membantu Karamjit Singh kembali memberi cabaran di peringkat antarabangsa!



[ad_2]
Source link